CHELSEA 0 MAN CITY 1

John Stones memuji perubahan di benteng yang diterapkan Manchester City ketika menentang Chelsea bagi memastikan kemenangan berharga 1-0 di Stamford Bridge, awal pagi tadi.


Jaringan Riyad Mahrez pada minit ke-63 meletakkan skuad kendalian Pep Guardiola itu lima mata di belakang pendahulu, Arsenal, ketika City bangkit selepas kecewa seri 1-1 berdepan Everton pada malam Tahun Baru.

Walaupun bahagian serangan meraih banyak pujian buat City musim ini menerusi sentuhan berbisa Erling Haaland, tetapi juara bertahan itu turut memperkasakan aspek di kubu sendiri.

Prestasi yang diperagakan Stones, awal pagi tadi, adalah sebahagian daripada usaha mereka dan pemain antarabangsa England itu mendedahkan sesi latihan baru-baru ini tertumpu kepada bahagian pertahanan.

"Ia adalah tiga mata yang berharga buat kami. Selepas kekecewaan terdahulu, kami menganggap telah kehilangan dua mata dan kami sepatutnya meraih mata penuh," katanya kepada Sky Sports.

"Kami mahu meletakkannya dengan betul hari ini dan cara kami beraksi dalam separuh masa kedua amat cemerlang. Untuk pulang dengan tiga mata adalah apa yang kami perlukan.



“Kami agak gopoh dalam separuh masa pertama, hantaran penting kami kerap tersekat dan kami tidak dapat mengekalkan bola seperti biasa.

"Kami berbincang ketika rehat, kami tahu kami perlu menggunakan bola dengan lebih baik dan menunggu ruang terbuka.

"Pujian buat Chelsea, mereka beraksi dengan sangat kompak, kami tidak dapat menguasai bola di bahagian tengah, kami terpaksa melebarkan permainan sayap dan semuanya berhasil dalam babak kedua.

"Terdapat beberapa detik besar mengenai hadangan serta taktik bertahan yang kami telah usahakan dalam latihan, dan ia berhasil pada hari ini."