Manchester City merupakan pasukan pilihan untuk memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, kata bekas penyerang pasukan itu, Paul Dickov.

Pasukan juara bertahan bimbingan Pep Guardiola itu memulakan musim ini dengan tewas 2-1 di gelanggang Tottenham tetapi kemudian merekodkan enam perlawanan tanpa kalah untuk kini berada di tangga ketiga dengan ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Chelsea.

City menewaskan Chelsea kendalian Thomas Tuchel 1-0 di Stamford Bridge sebelum terikat 2-2 dengan satu lagi pesaing kejuaraan, Liverpool, di Anfield hujung minggu lalu.

Keputusan itu menyaksikan Liverpool melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada 17 perlawanan berturut-turut tetapi Dickov berasakan prestasi yang dipamerkan bekas kelabnya itu sejak kebelakangan ini telah membuktikan bahawa mereka merupakan pasukan pilihan.



"Benar, saya rasa mereka adalah pasukan pilihan (untuk memenangi liga)," kata Dickov kepada Stats Perform.

"Saya fikir jika anda melihat kepada prestasi mereka sepanjang minggu ini, mereka berdepan tiga perlawanan di laman lawan paling sukar di Eropah dalam tempoh seminggu -- menentang Chelsea, Paris Saint-Germain dan Liverpool.

"Berdasarkan rekod, ia sentiasa tidak memihak Manchester City, jadi bagi saya, saya sentiasa melihat kepada kekuatan dan kedalaman pemain dalam skuad Manchester City dan ia sudah cukup untuk sekilas saya mengatakan bahawa mereka adalah pasukan pilihan," katanya.