LEEDS UNITED 0 MANCHESTER CITY 4

Manchester City memastikan perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) masih di tangan mereka selepas membelasah Leeds United 4-0 di Elland Road awal pagi tadi.

Selepas Liverpool meraih kemenangan 1-0 ke atas Newcastle United dalam perlawanan lebih awal, City memerlukan kemenangan untuk kembali ke puncak liga dan mengekalkan kelebihan satu mata dalam perebutan kejuaraan musim ini.

Bagaimanapun, mereka tidak berdepan masalah untuk melakukan perkara itu, di mana Rodri dan Natahan Ake menjaringkan gol daripada situasi bola mati dalam babak berbeza sebelum Gabriel Jesus dan Fernandinho melengkapkan kemenangan besar mereka pada penghujung permainan.

Pasukan bimbingan Pep Guardiola itu kini hanya perlu memenangi baki empat perlawanan EPL untuk menjulang kejuaraan manakala Leeds pula masih berisiko tersingkir ke divisyen kedua musim depan dengan menduduki tangga ke-17 ketika ini.

Leeds seterusnya akan bertandang ke laman Arsenal hujung minggu ini bagi meneruskan perjuangan mereka untuk kekal dalam EPL.

City pula akan beraksi lebih awal dengan berkunjung ke laman Real Madrid bagi perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada awal pagi Khamis ini dengan membawa kelebihan 4-3 daripada perlawanan pertama.