Riyad Mahrez mahukan lebih banyak kejayaan selepas menandatangani kontrak baru bersama pasukan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City.

Pemain kebangsaan Algeria itu, yang menghabiskan empat musim terakhirnya di City, menyertai pasukan itu daripada Leicester City dengan tanda harga £60 juta (RM316.46 juta) dan dia kini mengikat kesepakatan baru sehingga Jun 2025.

Mahrez menghasilkan 63 gol dan 45 bantuan jaringan sepanjang 189 penampilannya bersama City, di mana dia turut menjulang tujuh trofi kejohanan utama sepanjang tempoh itu.

Dia juga memenangi EPL sewaktu bersama Leicester pada 2016 tetapi pemain berusia 31 tahun itu masih mahu menambah koleksi kejuaraannya bersama pasukan bimbingan Pep Guardiola berkenaan.