Penyerang skuad B-23 negara, Luqman Hakim Shamsudin, lega apabila menamatkan kemarau jaringan peringkat antarabangsa ketika membantu Malaysia menewaskan Laos 3-1 dalam aksi Kumpulan B, acara bola sepak Sukan SEA Hanoi 2021 di Stadium Thien Truong, Nam Dinh semalam.

Penyerang KV Kortrijk itu menjaringkan satu gol dalam setiap separuh masa sambil Syahir Bashah turut mencatatkan nama selaku penjaring untuk pasukan bimbingan Brad Maloney berkenaan mengungguli carta Kumpulan B hasil dua kemenangan daripada dua perlawanan.

Kali terakhir Luqman Hakim menjaringkan gol dalam aksi kompetitif peringkat antarabangsa adalah ketika skuad B-19 negara menentang Brunei pada November 2019 dan dua jaringan terbaru ini jelas memberikan kelegaan buatnya.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, dia berkata: "Jaringan ini khas untuk rakan sepasukan saya dan keluarga saya yang sentiasa berdoa untuk saya dapat menjaringkan gol.

"Sudah pasti jaringan ini bermakna buat saya kerana sudah lama saya tidak menjaringkan gol.

"Sedih pun ada, gembira pun ada. Saya sedih sebab sudah lama tidak menjaringkan gol. Dua gol ini untuk diri saya sendiri, untuk pasukan melayakkan diri ke pusingan seterusnya, untuk keluarga, rakan-rakan dan tidak lupa juga buat semua penyokong Malaysia.

"Gol ini akan memberikan semangat buat saya dan pasukan. Insya-Allah kalau ada rezeki saya akan jaringkan gol lagi. Saya akan terus berusaha," katanya.