Sang Kenari perlu bangkit daripada kekecewaan selepas tewas mengejut 0-1 kepada Petaling Jaya City FC di Stadium Darulaman pada Sabtu lalu.

Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak, berharap pemain mengambil iktibar daripada perlawanan itu dan bangkit dalam aksi menentang Juara Liga Super 2022, Johor Darul Ta'zim (JDT), malam esok.

Menurutnya, kehadiran semula dua tonggak yang digantung pad aksi lalu akibat mengutip tiga kad kuning iaitu pemain tengah, Mahmoud Al-Mardi dan penjaga gol, Shahril Sa'ari menghadapi JDT diyakini mampu membantu pasukannya memberikan cabaran.

"Saya yakin pemain akan mengambil iktibar daripada aksi perlawanan lalu (tewas kepada PJ City) yang dilihat tidak menjadi dan mereka mahu bangkit daripada kekalahan pada Sabtu lalu.




"Misi kali ini adalah berbeza kerana lawan kami adalah pasukan terbaik Liga Malaysia. Biarpun sukar, kami tetap menaruh keyakinan tinggi apabila beraksi di depan penyokong sendiri," katanya.

Aidil Sharin berkata, pemain tidak boleh lagi mengulangi kesilapan lalu apabila bertemu JDT yang mempunyai kekuatan di semua posisi.

"Pemain sudah tahu kelemahan pada perlawanan semasa menentang PJ City dan bagi misi malam esok pula, diharap mereka tidak mengulangi kesilapan serta kealpaan sama lagi," ujar beliau lagi.

Sang Kenari kini berada di tangga keenam Liga Super selepas mengumpul 27 mata daripada 18 perlawanan.

Kredit: Sinar Harian