Lorenzo Insigne berkata perpindahannya ke kelab Liga Bolasepak Utama (MLS), Toronto FC, tercetus berikutan keperluannya untuk mencari cabaran baru selepas menghabiskan seluruh kariernya bersama Napoli.

Pemain antarabangsa Itali itu bersetuju untuk menyertai Toronto pada Januari lalu, seterusnya menamatkan musim Serie A 2021-22 dengan 11 gol dalam 32 penampilan bersama Napoli yang di bawah kendalian Luciano Spalletti sebelum ke Kanada.

Insigne menyumbangkan 122 gol dalam 434 penampilan buat kelab kampung halamannya itu, jumlah berkenaan hanya diungguli oleh Dries Mertens (148) yang tujuh gol lebih banyak daripada gol yang dijaringkan mendiang Diego Maradona bersama Partenopei (115).

Bercakap dalam sidang akhbar pertamanya di Toronto, Insigne menafikan cadangan bahawa MLS merupakan satu medan pra-persaraan bagi pemain berkualiti.

Ditanya adakah dia menerima tawaran lain juga, Insigne berkata: "Saya tidak menerima sebarang tawaran lain pada masa itu. Dari awal-awal lagi saya telah bertemu presiden malah ketika itu saya masih terikat kontrak dengan Napoli. Bahkan, saya masih mampu beraksi di Eropah.

"Saya baru berusia 31 tahun, jadi karier saya masih panjang tetapi saya mahu memilih kebahagiaan dan kesejahteraan keluarga saya.



"Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, saya pernah menang banyak perlawanan bersama Napoli termasuk kekalahan. Tetapi saya mahukan perubahan dan yang lebih penting ialah cabaran, sama ada di kelab Eropah lain mahupun di Amerika Utara.

“Saya pernah mendengar orang berkata bahawa bola sepak di Amerika Utara bukanlah bola sepak sebenar, tetapi saya telah saksikannya dan ia tidak tepat.

"Perpindahan ini satu cabaran tetapi saya sangat berterima kasih atas peluang yang diberikan oleh presiden kepada saya dan seluruh organisasi telah berikan kepada saya termasuk kasih sayang dan usaha yang semua orang lakukan dalam perkara ini.

"Saya sangat bersyukur dan saya mahu membalas kasih sayang yang diberikan dengan persembahan terbaik saya sepanjang musim ini."