Liverpool tanpa Trent Alexander-Arnold dan Thiago Alcantara bagi pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Manchester City.

Alexander-Arnold diketepikan ketika kemenangan 5-1 Liga Juara-Juara ke atas Porto Rabu lalu ekoran masalah otot, manakala Thiago diketepikan tiga perlawanan selepas mengalami kecederaan betis.

Pengurus Jurgen Klopp tidak berasakan mereka sempat beraksi sebelum saingan direhat seketika menjelang aksi antarabangsa.

"Tiada berita bermakna mereka tidak akan sempat pulih untuk bertemu City, tetapi saya menjangkakan mereka akan kembali beraksi selepas tamat aksi antarabangsa.

"Tetapi kami memiliki skuad yang berkualiti jadi kami akan mengunakan pemain yang dimiliki, jadi saya berasakan mereka akan kembali bersama pasukan selepas rehat antarabangsa."

City menang 4-1 di Anfield musim lalu bagi menamatkan 17 perlawanan tanpa kemenangan ke atas skuad kendalian Klopp.

Liverpool, yang kini memasuki rentetan 16 perlawanan tanpa kalah, berharap untuk mengelak daripada kekalahan berturut-turut kepada City buat pertama kali sejak 1937.