Jurgen Klopp mengisytiharkan pasukan Liverpool sudah bersedia memberi cabaran dalam musim baru selepas kemenangan 3-1 ke atas Manchester City dalam Piala Perisai Komuniti, awal pagi tadi.

Gol pembukaan Trent Alexander-Arnold sempat dipadamkan oleh Julian Alvarez dalam separuh masa kedua, tetapi The Reds bertindak balas apabila Mohamed Salah menyempurnakan sepakan penalti sebelum Darwin Nunez menandakan penampilan sulungnya dengan jaringan.


Sebaik keluar dari bangku simpanan dalam setengah jam terakhir, Nunez mengubah tempo Liverpool untuk menghalang perlawanan daripada diheret ke penentuan sepakan penalti. Dia membuktikan tanda-tanda awal keupayaannya dalam usaha kelab mengurangkan kesan kehilangan Sadio Mane kepada Bayern Munich.

Kemenangan itu bermakna Klopp berjaya melengkapkan koleksi trofi bola sepak Inggeris biarpun percubaan mereka pernah gagal sambil dia menyatakan pasukannya sudah bersedia untuk berjuang semula selepas kempen yang melelahkan musim lalu.

"Saya sangat seronok dengan perlawanan ini tetapi sepanjang pertemuan dengan City, kami menyajikan aksi menarik untuk ditonton. Kami tidak selalunya menang tetapi ia menghiburkan," katanyakepada ITV.

"Saya gembira dengan permulaan permainan kami dan setiap pemain gantian membawa perbezaan. Anak buah saya sudah bersedia dan ia bagus.

"Kami melihat Darwin Nunez dalam situasi berbahaya. Dia memanfaatkan ruang yang ada dan menyudahkan dengan baik juga."