Kelegaan buat Liverpool, bersambung derita buat Tottenham Hotspur.

Begitulah keadaannya setelah usai pertembungan di antara kedua-dua pasukan itu pagi tadi, dengan dua gol jaringan Mohamed Salah menghadiahkan kemenangan 2-1 buat Liverpool di gelanggang lawan.

Setelah kejayaan menewaskan Manchester City pertengahan bulan lalu, Liverpool dengan cukup anehnya tewas pula kepada Nottingham Forest dan Leeds United dalam perlawanan-perlawanan selanjutnya.

Ini mendorong kepada dakwaan pelbagai sumber media bahawa pemain-pemain The Reds hanya memberikan sepenuh usaha dan tenaga dalam perlawanan-perlawanan besar, manakala perlawanan dengan pasukan lain pula menjadi tempat untuk mereka menyimpan tenaga dan mengelakkan risiko kecederaan demi memastikan dapat bermain dalam Piala Dunia.

Bagi Tottenham pula, hajat mereka untuk meneruskan momentum selepas layak ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) ternyata tidak kesampaian.




Perlawanan awal pagi tadi menjadi kali keenam berturut-turut di mana mereka terlebih dahulu bolos dan terpaksa mengejar -- satu kecenderungan yang nyata harus dihentikan jika mereka mahu terus kekal sebagai salah satu kuasa besar dalam Liga Perdana Inggeris.

Setelah gol tunggal jaringannya menumbangkan City, Salah sekali lagi muncul wira dengan beraksi cemerlang bagi memimpin pasukannya ke arah kejayaan.

Dalam laporan akhbar Daily Mail, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menghadiahkan pujian setinggi-tingginya terhadap penyerang warga Mesir itu dengan berkata pada satu hari nanti, penonton bola sepak di seluruh dunia akan mengimbas kembali persembahan Salah dan mengakui bahawa dia merupakan salah seorang penyerang terbaik sepanjang zaman.

Aksi Salah turut diserikan dengan kebangkitan seorang lagi pemain Liverpool yang masih cuba untuk membuktikan dirinya sebagai penyerang berbisa.

Sepanjang 90 minit, Darwin Nunez tidak henti-henti menghantui barisan pertahanan Spurs, dengan kemahiran teknikal serta kekuatan fizikalnya nyata mendatangkan pelbagai masalah untuk dikekang.

Nunez turut berjaya melakukan bantuan jaringan buat gol pembukaan Salah menerusi satu lorongan cantik dan penuh tenang seawal minit ke-11.

Kegirangan Liverpool dan Klopp sama sekali berbeza dengan apa yang dilalui pengurus Tottenham, Antonio Conte.




Setelah menyaksikan pasukannya dicemuh penyokong di stadium sewaktu tamat aksi separuh masa pertama, buat sekian kalinya Conte sekali lagi menggesa agar diberikan kesabaran buat anak buahnya membuktikan apa yang mampu mereka kecapi.

"Saya boleh fahami kekecewaan penyokong, mereka membeli tiket demi menyaksikan persembahan yang baik daripada pasukan.

"Tetapi pada masa yang sama, saya harus mengulangi sekali lagi bahawa pasukan kami masih melalui proses pembaharuan dan pembaikan.

"Kami sudah banyak maju selepas setahun, tetapi jika ada yang berfikir kami sudah bersedia untuk memenangi segala-galanya, saya harus katakan ia adalah cukup sukar."

Spurs cuma mampu meraih tiga mata dalam empat perlawanan liga kebelakangan ini, dengan kekalahan di tangan seteru-seteru ketat, Manchester United dan Newcastle United, menyaksikan mereka berada lapan mata di belakang pendahulu, Arsenal, ketika ini.

Cuma satu perlawanan liga yang tinggal sebelum Piala Dunia bermula secara rasmi pada tanggal 20 November, dan berdasarkan keadaan terkini, kesemua pasukan harus bersiap untuk fokus mengejar Arsenal dan City yang semakin jauh meninggalkan pesaing masing-masing.