Lionel Messi akan melanjutkan kontraknya di Paris Saint-Germain (PSG) selepas tamat Piala Dunia Qatar, kata presiden kelab itu, Nasser Al-Khelaifi.

Kontrak bintang Argentina berkenaan akan tamat pada penghujung musim ini dan terdapat laporan bahawa dia sudah bersetuju untuk menyertai kelab Liga Utama Amerika Syarikat (MLS), Inter Miami.

Bagaimanapun, laporan itu berkemungkinan besar tidak benar memandangkan Messi hanya akan membuat keputusan selepas tamat Piala Dunia, di mana Argentina ketika ini sedang dalam persiapan bagi perlawanan suku akhir menentang Belanda awal pagi esok.

Al-Khelaifi, dalam pada itu, yakin Messi akan melanjutkan tempoh dua setengah tahunnya di Parc des Princes sambil berkata kepada Sky Sports bahawa Messi sendiri mahu terus berada di ibu kota Perancis berkenaan.

"Sudah semestinya, dia amat gembira, anda dapat melihatnya sewaktu dia bersama pasukan kebangsaannya.

"Jika pemain tidak gembira, anda dapat melihat prestasinya bersama pasukan kebangsaan tidak begitu bagus.

"Dia beraksi dengan amat luar biasa sepanjang musim ini bersama kami, dengan menghasilkan banyak gol dan bantuan jaringan buat pasukan kebangsaannya dan kelab ini.

"Jadi, apa yanng kami telah persetujui bersama -- bahawa selepas tamat Piala Dunia, kami akan duduk bersama.

"Tetapi kedua-dua pihak -- pihak kelab dan dirinya -- amat gembira, jadi kami akan mengadakan perbincangan selepas tamat Piala Dunia," katanya.