PSG 2 NICE 1

Paris Saint-Germain (PSG) kembali ke puncak Ligue 1 hasil kemenangan 2-1 ke atas Nice di Parc des Princes awal pagi tadi.

Gol daripada Lionel Messi dan Kylian Mbappe sudah cukup untuk memastikan pasukan bimbingan Christopher Galtier itu kembali ke kedudukan teratas, genap 24 jam selepas dipintas Marseille semalam.

Messi memecahkan kebuntuan dalam babak pertama menerusi sepakan penjuru gemilangnya sebelum setengah jam permainan tetapi Gaetan Laborde kembali menyamakan kedudukan buat Nice, hanya dua minit selepas perlawanan bersambung.

Bagaimanapun, Mbappe, yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-59, muncul wira PSG menerusi gol kemenangannya pada lewat permainan.

Kedua-dua pasukan itu akan menumpukan kepada saingan peringkat Eropah pertengahan minggu depan, di mana PSG akan menghadapi Benfica dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) manakala Nice pula akan bertemu Slovacko dalam Liga Persidangan Europa (UECL).