Christophe Galtier tidak memiliki sebarang keraguan mengenai komitmen Lionel Messi bersama Paris Saint-Germain (PSG) selepas pasukan itu tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Ia pada ketika bintang Argentina itu sudah memasuki tempoh empat bulan terakhir dalam kontraknya.

Messi sehingga kini masih belum bersetuju untuk menandatangani kesepakatan baru bersama PSG menjelang penamat kontraknya pada Jun depan sambil bekas pertahanan Real Madrid, Sergio Ramos, juga dalam situasi sama.

Tersingkirnya PSG dalam pusingan 16 UCL di tangan Bayern Munich pada Khamis lalu memberikan gambaran bahawa barisan penyerang bintang mereka, Messi, Neymar dan Kylian Mbappe, akan berpecah bagi membuka laluan untuk pembangunan semula kelab itu.

Messi dan Ramos dikaitkan untuk menyertai Liga Utama Amerika Syarikat (MLS) tetapi Galtier berasakan ia tidak akan berlaku berdasarakan standard dua pemain itu.

"Tiada keraguan mengenai dua pemain yang hebat ini berdasarkan rekod lampau mereka, yang sentiasa tahu mengenai situasi seperti ini," katanya dalam sidang media menjelang kunjungan ke laman Brest awal pagi esok.

"Mereka pemain di tahap yang amat tinggi, yang cepat beralih dari satu perlawanan ke satu perlawanan lain.

"Berkenaan situasi kontrak pula, mereka sudah terbiasa dengan situasi saat akhir seperti ini," katanya.