Shakhtar Donetsk dan Metalist 1925 mencetak keputusan seri tanpa jaringan yang menandakan kembalinya bola sepak divisyen teratas Ukraine selepas berehat selama 254 hari akibat perang.

Musim Liga Perdana Ukraine (UPL) 2021-22 sepatutnya disambung semula untuk separuh kedua kempen pada 25 Februari lalu tetapi semua perlawanan digantung selepas Russia memulakan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine sehari sebelumnya.

Disebabkan konflik berterusan itu, saingan musim lalu secara rasminya ditamatkan pada hujung April lalu apabila tiada pasukan bermain lebih daripada 18 perlawanan.

Sempena Hari Bendera Kebangsaan Ukraine pada 23 Ogos dan menjelang Hari Kemerdekaan negara itu, UPL kembali bersaing.

Shakhtar, yang menduduki tempat teratas ketika musim lalu digantung, memulakan penggal baru menentang Metalist 1925 yang dinaikkan pangkat dalam pertemuan di gelanggang tertutup, Stadium Olimpik, di Kyiv itu.



Kedua-dua pasukan sudah tidak bermain dalam perlawanan kompetitif selama sembilan bulan yang menyaksikan perlawanan di peringkat teratas membabitkan Shakhtar sebelum ini ialah menerusi kemenangan 2-1 di Oleksandria pada 11 Disember 2021, iaitu sebelum cuti musim sejuk.

Perlawanan dalam musim UPL baru hanya akan dimainkan di stadium yang mempunyai perlindungan serangan udara dan setiap perlawanan akan berlangsung secara tertutup.

Siren serbuan udara dikekalkan di negara itu tetapi tiada penggera akan dibunyikan ketika perlawanan.

Sebelum sepak mula, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, berucap kepada pemain melalui satu pautan video dan lagu kebangsaan dimainkan secara langsung di stadium.

Shakhtar kini akan mengalihkan perhatian mereka kepada undian Liga Juara-Juara (UCL), Jumaat ini, dan gelanggang di Warsaw menjadi venue rasmi mereka di peringkat Eropah musim ini.