Selangor FC mempersiapkan pasukan di tahap terbaik dalam misi mencipta kejayaan ke atas juara musim lalu, Johor Darul Ta'zim (JDT) FC, malam esok.

Selangor tewas 1-2 kepada Harimau Selatan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil November lalu menjadi salah satu faktor pasukan kendalian Tan Cheng Hoe tersebut tidak sabar kembali bertemu dengan pasukan pilihan utama itu.

Meskipun JDT selesa menerajui liga selepas memenangi keempat-empat perlawanan, Selangor yang setakat ini mengumpul tiga kemenangan pula bertekad memberi tentangan sengit kepada juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu.

Pertembungan di antara dua pasukan gergasi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu bakal dibanjiri penyokong, sekali gus menyaksikan Selangor berkelebihan beraksi di laman sendiri.

"Johor sebuah pasukan yang banyak menyerang, Selangor di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe juga jenis yang menyerang.



"Kami mengharapkan banyak peluang akan dicipta dan juga banyak gol yang akan dijaringkan.

"Yang penting penyokong dapat menikmati kualiti bola sepak bertaraf tinggi agar kita semua berseronok.

"Kalah menang adat pertandingan tapi Selangor akan cuba yang terbaik untuk penyokong dan pemegang taruh.

"Ia akan menjadi perlawanan yang menarik.

"Sangat penting jurulatih memberi peluang kepada pemain import yang sedang berikan persembahan yang terbaik.

"Bukan mudah ada lapan pemain import dan bagi semua main.

"Pemain yang diberi peluang dapat berikan persembahan yang baik. Mereka dapat sumbangkan gol, bantuan jaringan dan terlibat dalam 10 mata yang dipungut daripada empat perlawanan.

"Ia hasil sumbangan pemain import dan pasukan tetapi secara keseluruhan, (prestasi) pemain import adalah baik," kata Ketua PEgawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr. Johan Kamal.