SABAH FC 4 PENANG FC 1

Sabah FC kekal di tangga kedua Liga Super berbaki dua perlawanan selepas menewaskan pasukan di tangga tercorot, Penang FC, 4-1 di Stadium Likas sebentar tadi.

Ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar, terlebih dahulu membuka jaringan buat Sabah apabila menanduk masuk lintangan Alto Linus untuk menewaskan penjaga gol, Khatul Anuar Jalil, pada minit-33.

Dominasi Sabah semakin berleluasa dalam babak kedua tetapi mereka dikejutkan dengan gol penyamaan Adib Raop pada minit ke-70 -- selepas satu situasi sepakan penjuru.

Bagaimanapun, keadaaan itu hanya bertahan selama dua minit apabila Park Tae-soo menanduk masuk bola daripada sepakan percuma Saddil Ramdani untuk mejaringkan golnya yang ketujuh musim ini, sekali gus kembali meletakkan tuan rumah di depan.

Sabah kemudian dihadiahkan sepakan penalti selepas N. Thanabalan ditolak jatuh oleh Jafri Firdaus Chew dan Saddil tidak mensia-siakan kesempatan itu untuk menjaringkan gol ketiga pasukannya.

Stuart Wilkin selepas itu melengkapkan malam gemilang Sabah menerusi penyudah kaki kirinya pada lewat permainan.

Kemenangan itu menyaksikan Sabah semakin hampir untuk bergelar naib juara Liga Super di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan himpunan 39 mata, satu mata mengatasi pencabar terdekat, Terengganu FC, yang turut mencatatkan kemenangan 4-2 ke atas Melaka United.

Dalam pada itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan aksi di antara Negeri Sembilan FC dan Kedah Darul Aman FC malam ini terpaksa ditunda ke malam esok berikutan hujan lebat di Paroi.


Keputusan lain:
Melaka United 2 Terengganu FC 4
Petaling Jaya City 0 Selangor FC 1
Sri Pahang FC 0 Johor Darul Ta'zim 0