Kedah Darul Aman (KDA) FC berazam untuk bangkit dalam perlawanan Liga Super bertemu Negeri Sembilan FC biarpun sedar bukan tugas mudah untuk menumbangkan lawan itu di Paroi malam esok.

Tewas dua aksi berturut-turut kepada Petaling Jaya City FC 0-1 dan Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-3 di Alor Setar menyaksikan Kenari keciciran enam mata penting di laman sendiri.

Ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak, berkata semua pemainnya perlu bangkit dengan segera mencari momentum kemenangan bagi mengejutkan Sang Rusa yang setakat ini cemerlang di tangga keempat liga super.

"Perlawanan ini juga agak sukar kerana Negeri Sembilan berada di kedudukan keempat liga dengan hanya tewas kepada JDT dan KL City dalam tujuh perlawanan sebelum ini.

"Kami perlu bangkit kembali mencari rentak kemenangan dalam tempoh tiga hari ini," katanya.

Tambah Aidil Sharin, NS FC juga tewas besar 5-0 kepada JDT pada minggu lalu dan pastinya mahu bangkit untuk kembali mendapatkan mata penuh dalam aksi bertemu pasukannya di laman sendiri.

Menurutnya lagi, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam aksi pertama Liga Super di Alor Setar pada 17 Mei lalu dan menjangkakan satu aksi menarik akan dipamerkan dalam aksi kedua ini.

"Kami mengambil pengajaran daripada aksi pertama di Stadium Darul Aman dan berharap pemain akan bangkit memberikan tentangan kepada Negeri Sembilan walaupun beraksi di laman lawan."

Kredit: Sinar Harian