JOHOR DATUL TA'ZIM 2 SRI PAHANG FC 2

Johor Darul Ta'zim (JDT) terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Sri Pahang FC 2-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Ia juga menyaksikan pasukan juara bertahan itu berjaya mengelakkan kekalahan pertama dalam saingan Liga Super sejak kali terakhir tewas kepada Terengganu FC di venue sama pada 24 April tahun lalu.

Dalam perlawanan kali ini, Bergson da Silva membuka jaringan buat tuan rumah pada minit ke-17 selepas menerima lambungan cantik Fernando Forestieri.

Bagaimanapun, Sri Pahang bangkit menjaringkan dua gol untuk berkelebihan menuju ke bilik persalinan.

Saiful Jamaluddin menyamakan kedudukan buat Tok Gajah menerusi sepakan leret jarak jauh susulan satu serangan balas pada minit ke-38.

Sri Pahang kemudian memperoleh sepakan penalti pada minit ke-42 selepas Mahmoud Za'tara dijatuhkan Shahrul Saad dan Manuel Hidalgo tidak mensia-siakan kesempatan itu untuk menewaskan Farizal Marlias.

Ketika JDT diambang kekalahan, pasukan Harimau Selatan itu menerima sepakan penalti pada penghujung permainan apabila pengadil, Zuhaidi Dzulkifli, mendapati Shahrul Nizam Nadzir mengasari Bergson.

Bergson jelas memanfaatkan peluang itu untuk menjaringkan gol penyamaan buat JDT untuk barisan bimbingan Benjamin Mora berkenaan kekal menguasai tangga teratas Liga Super dengan 16 mata, satu mata di depan pencabar terdekat, Sabah FC, biarpun Harimau Selatan memegang kelebihan satu perlawanan dalam tangan.