ENGLAND 3 JERMAN 3

Gareth Southgate tetap mempertahankan Luke Shaw dan Harry Maguire tetapi tidak ragu-ragu untuk mengetepikan pemain berpengalaman sekiranya tidak boleh dielakkan lagi.


England bangkit daripada ketinggalan untuk mendahului Jerman 3-2 dalam separuh masa kedua sebelum berkesudahan 3-3 yang menyaksikan Shaw, Mason Mount dan Harry Kane menemui sentuhan jaringan.

Keyakinan awal penyokong tuan rumah tersentak apabila kesilapan Maguire telah membawa kepada sepakan penalti yang disempurnakan Ilkay Gundogan disusuli gol Kai Havertz.

Bagaimanapun, England mendapat nafas baru apabila mengikat kedudukan dalam tempoh empat minit menerusi Shaw and Mount.

Walaupun kehilangan tempat dalam pasukan utama mereka di Manchester United, Shaw dan Maguire masih diberi peranan utama dalam kedua-dua perlawanan Liga Negara-Negara Eropah (UNL) bersama England, malah Maguire beraksi penuh dalam pertemuan dengan Itali dan Jerman.

"Ia akan sentiasa menjadi satu cabaran terutama mengenai minit permainan mereka. Saya sedar semua orang akan memberi tumpuan kepada Harry tetapi terdapat beberapa detik yang sangat penting yang ditonjolkan Harry dalam dua perlawanan ini.





"Luke merupakan satu lagi contoh seorang pemain bola sepak yang cemerlang, jadi apa yang perlu kami lakukan -- tidak memilih Luke Shaw kerana dia jarang beraksi atau adakah kami memilih pemain atas dasar kemampuan mereka yang dapat anda saksikan malam ini?

"Hal ini akan sentiasa akan menimbulkan perdebatan tetapi saya fikir pada saat-saat ini, kami perlu menyokong pemain terbaik dan mereka merupakan pemain paling berpengalaman. Melainkan kami berada dalam situasi yang hampir tidak boleh dipertahankan dan mustahil untuk memilih mereka."