Ketua jurulatih England, Gareth Southgate, mengakui lebih cenderung menggunakan khidmat Kieran Trippier dan Reece James.

Baginya, kedua-dua pertahanan itu sedang beraksi cemerlang dalam permulaan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Justeru, Southgate menjelaskan keputusannya tidak mengetengahkan tonggak Liverpool, Trent Alexander-Arnold, ketika seri 3-3 bertemu Jerman dalam Liga Negara-Negara Eropah (UNL) di Stadium Wembley, awal pagi tadi.

Southgate menamakan barisan yang sama ketika tewas kepada Itali dengan John Stones terpilih untuk mengisi pertahanan tengah kanan sementara Luke Shaw -- yang dikeluarkan di Milan -- mengambil tempat Bukayo Saka sebagai pertahanan sayap kiri.

"Trent merupakan pemain bola sepak yang sangat-sangat baik dan itulah sebabnya kami memilihnya dalam senarai awal," katanya selepas England mengakhiri kempen Kumpulan A3 tanpa kemenangan.




"Tetapi kami mempunyai beberapa pilihan bagus di bek kiri. Luke bermain dengan baik dalam perlawanan lalu dan ini adalah peluang yang baik untuknya malam ini. Dia seorang pemain hebat.

"Eric Dier juga telah kembali ke dalam pasukan dan kami mahu mengekalkan momentum itu. Dia sudah lama tidak bersama kami.

"John Stones masih segar tetapi Kyle Walker baru sembuh jadi kami rasa adalah wajar untuk memberikannya kesegaran."