PORTUGAL 0 SEPANYOL 1

Luis Enrique menyambut baik persaingan merebut tempat dalam skuad Sepanyol selepas juara dunia 2010 itu mengesahkan tempat ke separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah (UNL).


La Roja mengecewakan pencabar terdekat yang juga merupakan juara edisi pertama, Portugal, hasil jaringan tunggal Alvaro Morata ketika permainan berbaki dua minit untuk menguasai Kumpulan A2 awal pagi tadi.

Mereka bakal bertemu Itali dalam misi lolos ke final sambil satu lagi pertemuan pada Jun 2023 itu membabitkan Belanda dan Croatia.

“Ini adalah sukan yang mengagumkan. Kemenangan adalah penawar terbaik buat kemurungan atau kesedihan," kata dalam sidang akhbar selepas perlawanan di Braga itu.

Ia juga merupakan peluang terakhir Luis Enrique untuk memperhalusi prestasi pemainnya tatkala segala perhatian mula memusat ke arah Piala Dunia Qatar, 25 November depan.

Ketua jurulatih Sepanyol itu perlu memikirkan semasak-masaknya anggota yang bakal dipertaruhkan dengan pengumuman akhir ditetapkan pada 11 November berikutan beberapa tunjang utamanya masih dibelenggu kecederaan.

“Sekarang kami dibenarkan menyenaraikan hingga 26 pemain tetapi ia sesuatu yang boleh memberi kesan kepada pasukan. Ia boleh menjadi skuad 26 atau 24 pemain. Saya belum membuat keputusan," katanya lagi.

“Saya perlu melihat Ansu Fati bermain di Barca, Aymeric Laporte sudah pulih dan sedang berlatih bersama pasukannya dan saya lebih gemar untuk tidak berkata apa-apa tentang Mikel Oyarzabal.

"Mari lihat sejauh mana tahap pemulihannya.

Tetapi memang benar ia akan menjadi skuad yang sukar dan tidak semua orang yang saya mahukan akan tersenarai.”