Pemain tengah Jerman, Joshua Kimmich, berasakan pasukannya lebih berhak mengutip mata penuh selepas melepaskan kelebihan 2-0 untuk England mengikat kedudukan 3-3, awal pagi tadi.

Pertembungan di Stadium Wembley itu menutup kempen Kumpulan A3, Liga Negara-Negara Eropah (UNL) yang dijuarai Itali.

Namun, tonggak berumur 27 tahun itu menganggap England hanya bersandar taktik negatif untuk menghukum pasukannya tetapi mereka juga harus menyalahkan diri sendiri gara-gara terleka.

“Kami mengawal permainan dan mendahului 2-0; England hanya mengharapkan serangan balas”, katanya kepada @iMiaSanMia.



“Selepas 2-0 kami menjadi terlalu pasif dan tidak cukup berani merebut bola. Ia sebenarnya tidak dapat dijelaskan kerana England tidak begitu mahu bermain."

Lantaran itu, Kimmich menuntut fokus tinggi rakan sepasukannya agar mereka tidak dihukum dalam Piala Dunia Qatar, November ini.

“Itu tidak sepatutnya berlaku dalam separuh masa kedua kerana kami mengawal sepenuhnya perlawanan ini.

"Kami kini mempunyai enam minggu lagi untuk mendapatkan perasaan yang baik. Dan kemudian kami akan berjuang habis-habisan dalam Piala Dunia.”