Robert Lewandowski berasa seperti dia sudah 'berbulan-bulan' berada di Barcelona selepas melakukan penampilan pertama bersama Blaugrana sewaktu menewaskan Real Madrid dalam aksi El Clasico semalam.

Aksi persahabatan di Stadium Allegiant, Las Vegas itu dibezakan oleh jaringan seorang lagi pemain baru Barca, Raphinha, untuk pasukan bimbingan Xavi berkenaan memperoleh kemenangan 1-0.

Lewandowski tidak dapat menemui jaringan dalam aksi pertamanya tetapi percubaan berbahaya yang dilakukannya dalam babak pertama memaksa penjaga gol Madrid, Thibaut Courtois, menolak bola keluar.

Pemain kebangsaan Poland itu hanya menyertai Barca minggu lalu tetapi mendedahkan kepada Barca TV dan TV3 betapa dia sudah menyesuaikan diri dengan pasukan itu.

"Walaupun ia hanya perlawanan persahabatan, Clasico tetap Clasico dan ia sentiasa berbeza dan istimewa, dan saya amat gembira dengan kualiti dan keamatan yang telah kami pamerkan.

"Saya amat gembira untuk berada di sini dan menjadi sebahagian daripada pasukan ini.

"Saya tidak berasa seperti saya baru beberapa hari bersama kelab ini, saya berasa seperti sudah mewakili kelab ini selama berbulan-bulan.

"Saya berasa amat disokong oleh rakan sepasukan dan staf pasukan ini," katanya.

Barca akan memulakan kempen LaLiga dengan menantikan kunjungan Rayo Vallecano pada 13 Ogos ini.