Bekas bintang Manchester United, Wayne Rooney, menegaskan legasi Ratu Elizabeth II dalam sukan di England tidak akan pernah dilupakan.

Istana Buckingham mengesahkan bahawa Ratu Elizabeth II meninggal dunia pada usia 96 tahun.

Rooney, yang merupakan pemegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman skuad kebangsaan England dengan 53 gol daripada 120 penampilan, mengakui pemergian monarki berkenaan membawa kepada hari yang sugul buat England dan seluruh jajahannya tetapi menegaskan segala yang telah dicurahkan Ratu Elizabeth II dalam bidang sukan di negara itu tidak akan pernah dilupakan.

Pengurus DC United itu berkata: "Ia merupakan hari yang sedih buat semua orang, terutama di England.

"Tetapi di seluruh dunia, legasi yang ditinggalkan Ratu amat luar biasa.

"Jadi, ia hari yang amat menyedihkan dan mengejutkan semalam sebelum kita mendapat pengesahan berita berkenaan.

"Saya pernah menemui ramai daripada kerabat diraja tetapi tidak pernah berkesempatan untuk bertemu dengan Ratu.

"Tetapi amat jelas segala usahanya dan segala yang telah dilakukan sepanjang hayatnya dan bagaimana dia memerintah negara kami tidak akan pernah dilupakan," katanya.