Jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia, mendaki satu anak tangga untuk berada di ranking kedua dunia biarpun gagal merangkul kejuaraan Terbuka Denmark pada Ahad lalu.

Meskipun tewas kepada pemain China, Shi Yuqi, 18-21, 21-16, 12-21 dalam aksi final, kejayaan muncul naib juara kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 750 BWF itu memberikannya mata yang baik untuk memperbaiki kedudukan rankingnya.

Juara Asia itu mengutip 9,350 mata dalam kejohanan berkenaan.

Ia merupakan ranking terbaik dalam karier pemain dari Alor Setar, Kedah itu dengan mengumpul 92,528 mata keseluruhan untuk berada di belakang jaguh Demark, Viktor Axelsen (122,606 mata).

Seorang lagi pemain muda negara, Leong Jun Hao, turut merasai kenaikan mendadak dalam ranking dunia setelah muncul juara Masters Indonesia, Ahad lalu.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini memaklumkan bahawa Jun Hao, 23, menerima kenaikan 28 anak tangga untuk ke kedudukan ke-73 dunia.

Bagi kategori beregu lelaki, juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kekal di tangga keempat.

Kredit: Sinar Harian