Real Madrid akan memulakan misi mempertahankan gelaran LaLiga dengan bertemu Almeria selepas jadual perlawanan musim 2022-23 diumumkan malam tadi.

Dalam pada itu, musim penuh pertama Xavi selaku jurulatih Barcelona akan bermula dengan perlawanan menentang Rayo Vallecano manakala Atletico Madrid kendalian Diego Simeone akan memulakan saingan dengan kunjungan ke laman Getafe.

Perlawanan lain menyaksikan Sevilla bertandang ke Osasuna, Athletic Bilbao melayani Mallorca dan pemenang playoff, Girona, bertemu Valencia.

Musim baru LaLiga akan bermula pada 12 Ogos depan dan akan berjalan sehingga waktu rehat pertengahan musim bagi memberikan laluan buat Piala Dunia Qatar pada November depan sebelum bersambung semula pada 29 Disember 2022.

Madrid, yang memperoleh kejuaraan berganda musim lalu selepas menewaskan Liverpool dalam final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Paris, akan menjadi tuan rumah perlawanan El Clasico pertama di Santiago Bernabeu pada 16 Oktober depan sebelum menghadapi perlawanan di laman Barcelona pada 19 Mac 2023.

Perlawanan terakhir pula menyaksikan Madrid melayani kunjungan Athletic Bilbao, Barcelona ke laman Celta Vigo dan Atletico bertemu Villarreal menjelang penamat musim pada 4 Jun 2023.