Kapten Atletico Madrid, Koke, memecahkan rekod penampilan terbanyak bersama kelab itu apabila turun buat kali ke-554 sewaktu pasukannya menewaskan Sevilla 2-0 dalam aksi LaLiga di Estadio Ramon Sanchez Pizjuan awal pagi tadi.

Koke, 30, menghabiskan seluruh karier peringkat kelabnya di Atletico sejak tiba daripada akademi pembangunan kelab itu.

"Anda menyedarinya tetapi selagi karier saya tidak berakhir, saya tidak akan memikirkan mengenai berapa tahun yang sudah saya lalui," kata Koke selepas perlawanan itu.

"Saya mencuba untuk menikmatinya dan melaluinya dari hari ke hari. Saya gembira dengan apa yang sudah saya lakukan tetapi saya mahu lebih daripada itu.

"Saya tidak akan puas dengannya, saya akan terus berjuang buat pasukan saya untuk menang dan terus berkembang," katanya.

Rekod terdahulu dipegang oleh Adelardo Rodriguez -- yang menghabiskan 17 tahun dengan kelab itu dari 1959 hingga 1976 -- dengan 553 penampilan dalam kesemua kejohanan.

Koke melakukan penampilan pertama bersama skuad senior Atletico pada usia 17 tahun, di mana dia dimasukkan sebagai pemain gantian ketika tewas 2-5 kepada Barcelona di Camp Nou pada 2009.