Carlo Ancelotti enggan menyalahkan Karim Benzema selepas penyerang itu gagal menyempurnakan sepakan penalti sehingga rekod kemenangan 100 peratus Real Madrid dalam LaLiga musim ini dimusnahkan Osasuna awal pagi tadi.

Di sebalik kepulangan Benzema selepas tiga minggu diketepikan kerana kecederaan, Madrid mempamerkan aksi yang kurang mantap di Santiago Bernabeu, di mana mereka membiarkan jaringan pebukaan Vinicius Junior dipadamkan oleh gol Kike Garcia pada awal babak kedua.

Benzema memperoleh peluang untuk memastikan kemenangan ketujuh Madrid daripada tujuh perlawanan liga musim ini apabila David Garcia dilayangkan kad merah kerana menjatuhkannya dalam kawasan penalti tetapi sepakannya sekadar menggegarkan palang gol.

Osasuna kemudian bertahan dengan baik walaupun beraksi dengan 10 pemain untuk mengekalkan keputusan perlawanan dan Benzema kini telah terlepas tiga sepakan penalti menentang pasukan bimbingan Jagoba Arrasate itu sepanjang tahun ini.

Ancelotti enggan menyalahkan Benzema sambil menegaskan bahawa Madrid tidak beraksi buruk dengan berkata kepada DAZN: "Karim selalunya akan menjaringkan gol.

"Perlawanan ini tidak menarik tetapi selepas kami dibolosi, pasukan ini telah melakukan apa yang sepatutnya.

"Karim tiada masalah untuk bermain selama 90 minit. Dia sudah kembali ke keadaan terbaik ketika bermain.

"Ia kemalangan dalam bola sepak yang adakalanya boleh berlaku. Kami agak kukuh di bahagian belakang, kami memiliki keseimbangan yang baik, kami jarang dibolosi daripada serangan balas," katanya.