Pengurus Barcelona, Xavi, mengingatkan pemainnya bahawa kunjungan ke Atletico Madrid awal pagi esok bukan penentu nasib mereka musim ini dalam usahanya meredakan tekanan yang dialami pendahulu liga.

Barca menuju ke perlawanan ke-16 dengan menguasai puncak LaLiga berdasarkan perbezaan jaringan dengan Real Madrid.

Namun, dengan Los Blancos tumbang 1-2 kepada Villareal semalam, Barca berpeluang menjarakkan diri dengan seteru bimbingan Carlo Ancelotti itu.

Ia bakal ujian getir paling getir Barca tahun ini dan ia hadir ketika mereka dalam prestasi yang kurang memberangsangkan selepas Piala Dunia yang menyaksikan Blaugrana terikat 1-1 di tempat sendiri dengan Espanyol sebelum memerlukan masa tambahan untuk menewaskan kelab divisyen ketiga, Intercity, 4-3 dalam Copa del Rey, di pertengahan minggu ini.

Begitupun, Xavi enggan melebih-lebihkan kepentingan perlawanan ini biarpun dia mengkritik kesilapan individu pemain Barca.

"Setiap minggu perkara seperti ini berulang: perlawanan ini seterusnya adalah yang paling penting. Ia bukan penentu nasib kami tetapi keciciran mata akan menggugat kedudukan kami di carta," katanya kepada pemberita.




"Ia adalah gelanggang yang rumit untuk dilawati dan mereka hebat daripada segi bertahan. Ia akan menjadi sukar buat kami untuk menjana sesuatu dan kami harus lebih berkesan berbanding dua perlawanan terakhir, tetapi ia bukan satu perlawanan yang boleh menentukan masa depan LaLiga."

Mengenai kesilapan pemain-pemainnya, dia menambah: "Ia lebih kepada isu mental daripada isu permainan.

"Kami mendominasi perlawanan dan mencipta peluang, tetapi kami perlu membunuh perlawanan. Kami perlu lebih ampuh di kawasan tertentu. Kami jauh lebih hebat daripada pesaing kami tetapi sekali-sekala kami melakukan kesilapan.

"Akhirnya kami semua gagal. Saya perlu cuba menyuntik keyakinan kepada pemain supaya mereka tidak melakukan kesilapan, tetapi bola sepak adalah permainan kesilapan.

"Kami perlu meminimumkan kesilapan untuk menang. Kami menyusahkan diri sendiri ketika bertemu Intercity."