Dejan Kulusevski mengakui bahawa keputusannya untuk menyertai Tottenham adalah satu tindakan terbaik.

Penggempur Sweden itu meninggalkan jaguh Serie A, Juventus, demi mengejar minit permainan sebelum Antonio Conte berjaya meyakinkannya dalam merintis projek di kelab London itu.

Lantas, Kulusevski memuji tunjuk ajar pengurus itu dalam membentuk fizikal dan kecergasannya ke tahap yang berbeza menjelang pertemuan getir 'derby' utara London hujung minggu ini.

Dalam satu temu bual bersama Football London, pemain berusia 22 tahun itu berkata: "Peranan (Conte) adalah penting. Di Tottenham fizikal saya berubah,terutama hasil senaman di gimnasium dalam masa yang singkat.

"Kami berlatih setiap hari dan ia lebih baik daripada saya di Itali. Saya suka cara kami berlatih di London dan pastinya penghargaan diberikan kepada jurulatih kami. Saya sangat gembira dapat bermain untuknya.

"Di Tottenham, seperti yang saya telah katakan, saya lebih kerap berjuang di gimnasium dan anda boleh lihat hasilnya.

"Saya boleh katakan bahawa daripada Juve ke Spurs, dunia saya telah berubah dan satu perkara yang harus ditekankan adalah tentang Conte."