Jurgen Klopp menyeru barisan pemain Liverpool agar menghulurkan lebih banyak sokongan kepada pendatang baru, Darwin Nunez, berikutan kekalahan 0-1 kepada Salzburg semalam.

Penyerang berusia 23 tahun itu beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang kelab Austria itu apabila digandingkan dengan Fabio Carvalho dan Harvey Elliott sepanjang 45 minit pertama.

Selepas sejam permainan, The Reds beralih kepada kekuatan penuh -- sekali gus memberi bayangan Nunez mungkin diketepikan dalam kesebelasan utama pada awal kempen -- tetapi rombakan itu belum cukup untuk memadam kelebihan tuan rumah.

Prestasi Nunez jauh berbeza berbanding ketika membelasah RB Leipzig yang menyaksikannya meledak empat gol, lantas Klopp menjelaskan bahawa bintang Uruguay tersebut memerlukan sokongan berterusan daripada rakan sepasukan.

"Dalam babak pertama, kami melakukan terlalu banyak kesilapan yang boleh lawan ambil kesempatan. Kami juga mempunyai detik baik, kami patut menemui sentuhan penyudah dalam perlawanan persahabatan keempat, sekurang-kurangnya lima gol. Tapi kami gagal melakukannya," kata pengurus Liverpool itu kepada media kelab selepas perlawanan berkenaan.

"Darwin terlalu kerap bersendirian. Semua pemain turun ke bawah, semua pemain terlibat dalam membina gerakan tetapi posisi kami terlalu lebar, kami hanya mampu memberi umpan kepada Darwin di dalam kotak penalti.

"Dia mempunyai detik-detiknya dan hampir menjaringkan gol tetapi dia memerlukan lebih banyak sokongan di sekelilingnya. Mereka perlu membuatkan pemain lain sibuk hingga mereka tidak dapat memberi tumpuan kepadanya. Begitu banyak perkara yang perlu diperbaiki. Dalam separuh masa kedua pula, bayangkan kalau Darwin berada di sana di dalam kotak penalti, ia juga boleh membantu.

"Kami tidak berasa seronok (dengan kekalahan ini) tetapi kami menelannya dan terus pandang ke depan."

Liverpool akan menantikan pertembungan Perisai Komuniti dengan Manchester City, tengah malam minggu ini, sebelum mengadakan perlawanan pemanas badan terakhir menentang Strasbourg, sehari kemudian, sebelum memulakan kempen Liga Perdana Inggeris menentang Fulham, 6 Ogos depan.