Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, sekali lagi menyalahkan Premier League dan penyiar atas penetapan jadual perlawanan pasukannya.

The Reds mempunyai lima perlawanan dalam tiga kejohanan sepanjang bulan ini dan berpotensi melalui perlawanan keenam seandainya mengatasi Benfica dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok.

Liverpool masih ketinggalan satu mata di belakang Manchester City dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas terikat 2-2 di Stadium Etihad hujung minggu lalu dan mereka akan sekali lagi bertemu pasukan bimbingan Pep Guardiola itu dalam separuh akhir Piala FA hujung minggu depan.

Klopp, dalam pada itu, tidak berpuas hati apabila kunjungan pasukannya ke laman Newcastle ditetapkan pada 30 April depan memandangkan ia terlalu rapat dengan perlawanan separuh akhir pertama UCL.

Bercakap dalam sidang media menjelang perlawanan menentang Benfica di Anfield, Klopp ditanya mengenai potensi pasukannya untuk memenangi empat gelaran musim ini -- selepas menjuarai Piala Liga Inggeris (EFL) awal musim ini.

"Satu-satunya perlawanan yang saya fikirkan adalah menentang Benfica malam esok. Kemudian, dengan kejayaan kami setakat ini, kami akan bertemu City pada Sabtu ini.

"Kemudian kami akan menghadapi (Manchester) United (pada 19 April), kemudian kami menentang Everton (24 April), kemudian jika kami layak malam esok, kami perlu menghadapi separuh akhir (UCL), kemudian BT dan Premier League memberikan kami perlawanan di laman newcastle pada jam 12.30.

"Ia tidak bagus. Jika kami bermain dalam separuh akhir UCL, jika anda menemui satu lagi liga dalam dunia dan satu lagi penyiar, di mana mereka meletakkan satu pasukan yang berada dalam separuh akhir, mungkin dua, mungkin tiga pasukan inggeris, perlawanan pada jam 12.30... Apa yang anda buat? Kenapa anda buat begitu?

"Jadi, kerana itulah ia sukar (untuk memenangi empat trofi) tetapi tiada apa yang berlaku kerana tiada siapa ambil peduli," katanya.