LIVERPOOL 0 STRASBOURG 3

Liverpool akan terus memantau keadaan Curtis Jones selepas pemain tengah itu tersisih dalam kekalahan 0-3 kepada Strasbourg dalam perlawanan persahabatan awal pagi tadi akibat kecederaan misteri.


Sehari selepas Liverpool menewaskan Manchester City 3-1 dalam Perisai Komuniti, The Reds pantas mengalihkan tumpuan ke Anfield sempena kunjungan Strasbourg.

Dua gol daripada Adrien Thomasson dan satu gol lagi daripada Habib Diallo menghadiahkan kekalahan buat tuan rumah dalam persiapan terakhir mereka menjelang musim baru Liga Perdana Inggeris (EPL).

Klopp bercadang mempertaruhkan Jones, yang hanya muncul sekejap dari bangku simpanan ketika menentang City, sebelum mendedahkan pemain berusia 21 tahun itu berdepan masalah yang memerlukan pemeriksaan lanjut.

Ia masih perlu dipastikan adakah Jones sempat cergas untuk diturunkan sebaik Liverpool melancarkan kempen liga mereka di Fulham, Sabtu ini.

"Kami perlu pantau Curtis. Dia tidak mengalami sebarang impak, jadi kami perlu selidik lebih lanjut lagi," katanya.

"Kami kesuntukan masa; dia mula berasakan ada yang tidak kena pada hari ini tetapi dia terlalu ingin beraksi.



"Kemudian jabatan perubatan tidak membenarkannya dan kami perlu mengadakan ujian lanjut. Kami akan melakukannya esok dan kami akan mengetahuinya lebih lanjut."

Klopp juga kehilangan pemain tengah, Naby Keita, yang disifatkan oleh pengurus tersebut sebagai tidak sihat sementara pertahanan tengah, Ibrahima Konate, terpaksa dikeluarkan dalam babak kedua akibat kecederaan ketika cuba mengekang kelab Ligue 1 itu.

Tetapi Klopp tetap tenang apabila mengulas di laman sesawang rasmi Liverpool: "Kami belum tahu dengan tepat mengenai Ibou tetapi ia tidak kelihatan terlalu membimbangkan.

"Jadi saya harap kami dapat mengetengahkannya pada saat yang tepat."