BRENTFORD 3 LIVERPOOL 1

Penggantian Virgil van Dijk dalam separuh masa pertama ketika Liverpool kecundang 1-3 dalam kunjungan ke Brentford, awal pagi tadi, merupakan satu langkah berjaga-jaga memandangkan pertahanan itu bergelut dengan keamatan permainan, jelas Jurgen Klopp.


Berikutan jaringan sendiri Ibrahima Konate sementara tandukan Yoane Wissa menghukum Liverpool sebelum rehat, Klopp membuat rombakan drastik dengan mengeluarkan Van Dijk, Konstantinos Tsimikas dan Harvey Elliott.

Walaupun pemain gantian iaitu Joel Matip, Andrew Robertson dan Naby Keita pada mulanya memberi impak positif, tetapi mereka masih belum mampu menyekat kekalahan sulung The Reds kepada The Bees sejak 1938.

Van Dijk memulakan permainan sebagai ketua pasukan berikutan Jordan Henderson dan James Milner diketepikan, lantas situasi itu mengundang persoalan mengenai kecergasannya.



Bagaimanapun, Klopp -- dalam sidang akhbar selepas perlawanan -- mendedahkan ia satu tindakan demi mengelak tonggak Belanda itu daripada dilanda kecederaan berpanjangan: "Virgil berasa sedikit ketegangan otot tetapi dia dalam keadaan baik-baik saja dan dia cukup bagus untuk menilai perkara seperti ini.

"Tetapi saya tidak mahu mengambil sebarang risiko -- ahli fisioterapi kelihatan agak gembira apabila saya berkata kami tidak akan mengambil risiko. Saya fikir ia bukan dipengaruhi faktor kecederaan, cuma dia berasakan keamatan permainan ini.

"Dua pertukaran selebihnya adalah tentang taktikal. Kami jelas mempunyai peluang juga.




“Kami memasukkan Naby yang saya fikir beraksi dengan sangat bagus dan kelibat Robbo selepas rehat adalah apa yang kami perlukan.

"Kami memerlukan kederasan di bahagian benteng dan itulah sebabnya saya membuat kedua-dua pertukaran ini."