Jurgen Klopp menuduh Brentford menikmati penguatkuasaan peraturan yang longgar yang menjadi punca Liverpool tewas mengejut 3-1 kepada The Bees, awal pagi tadi.

Gol sendiri Ibrahima Konate dan tandukan Yoane Wissa menyaksikan Liverpool ketinggalan sebelum rehat tatkala barisan Klopp itu bergelut untuk mengatasi bola pegun Brentford.

Pelawat melakukan tiga pertukaran pada waktu rehat termasuk membabitkan Virgil van Dijk dan rombakan itu kelihatan mencetuskan harapan kebangkitan buat The Reds apabila Alex Oxlade-Chamberlain merapatkan jurang dalam penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang ke-100 bersama kelab tersebut.

Bagaimanapun, Bryan Mbeumo kembali meletakkan Brentford di kedudukan selesa apabila menghukum kealpaan Konate untuk jaringan pada lewat permainan, secara tidak langsung memberikan Brentford kemenangan pertama mereka ke atas Liverpool sejak 1938.

Klopp meluahkan kekecewaannya selepas perlawanan itu dengan melabel Brentford telah melanggar peraturan malah mengkritik kegagalan pengadil, Stuart Attwell, berhubung tingkah laku pihak lawan ketika bola pegun.

“Saya tidak pasti adakah sepanjang masa pengadil benar-benar mampu mengawal permainan ini memandangkan setiap sudut menjadi ancaman besar,” katanya kepada Sky Sports.

"Pada saat-saat ini mereka mengambil ringan peraturan mengenai sentuhan seluruh badan.

"Hanya sekali wisel ditiup dalam satu pelanggaran ketika situasi bola mati pada malam ini dan itu pun tidak memihak kami, ia benar-benar lucu. Pegang tetap pegang, begitu juga tolakan adalah satu tolakan.




"Ia menjurus kepada permainan yang Brentford mahukan berbanding yang kami harapkan. Mereka dapat menentukannya berikutan wisel yang dibunyikan untuk mereka.

"Dua jaringan yang terhasil daripada sepakan penjuru mereka adalah ofsaid sementara satu lagi disebabkan kami tidak bertahan dengan sempurna, apa pun mereka dapat mengelak peraturan. Mereka benar-benar menolak dan memegang kami.

"Saya langsung tidak menghormati jaringan ketiga. Pengadil fikir ia bukan satu kesalahan, kemudian VAR (video bantuan pengadil) berselindung di sebalik frasa 'jelas dan nyata'. Pengadil perlu menjelaskannya kalau ada sesiapa yang mempersoalkannya.

"Ada sebab mengapa mereka begitu berjaya menyerang dengan bola pegun tetapi masih melepaskan banyak gol dalam situasi yang sama.

"Ini kerana mereka tidak mampu melakukan tindakan yang sama di dalam kotak penalti sendiri kerana ia boleh bertukar kepada sepakan penalti."