Pertahanan skuad negara, Dion Cools, akui akan menggalas tanggungjawab besar dalam membantu Harimau Malaya membuka kempen King's Cup dengan keputusan positif menjelang aksi berdepan tuan rumah, Thailand, di Stadium Chiang Mai malam esok.

Pemain berusia 26 tahun itu dilihat akan menjadi sandaran utama skuad negara di bahagian tengah selepas ketiadaan Shahrul Saad gara-gara masalah kesihatan.

Dengan keadaan itu juga, Cools akan turun beraksi dengan gandingan baru, sama ada Khuzaimi Piee, Dominic Tan atau Sharul Nazeem Zulpakar.

"Daripada segi bola sepak, kami sudah memahami cara permainan masing-masing dengan lebih baik," katanya seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Berdasarkan posisi di mana saya bermain, saya fikir saya perlu membimbing pasukan dengan cara terbaik yang saya mampu.

"Di Eropah juga, saya sentiasa mahu membantu pasukan dan mahu membimbingnya dari bawah.

"Saya tidak fikir ia memberikan tekanan tambahan kerana ia adalah tugas saya selaku pemain untuk membantu pasukan dengan sebaik mungkin," katanya.