Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, lega percaturan saat akhirnya berhasil selepas sabah berjaya bangkit membalas dua jaringan pada separuh masa kedua walaupun lawan terlebih dahulu di depan dengan satu jaringan.

Sabah bermain tanpa kelibat beberapa tonggak utama seperti Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Park Tae-su namun masih berjaya mengutip tiga mata berharga.

PJ City mendahului babak pertama hasil jaringan tunggal menerusi Darren Lok pada minit ke-33 sebelum Sabah membalas pada babak kedua, hasil gol Taiki Kagayama dan Mohd Farhan Fazail pada minit ke-47 dan ke-74 menyaksikan pasukan kendalian Kim Swee meraikan kejayaan 2-1.

"Kami terpaksa menunggu hingga minit akhir sebelum menyenaraikan kesebelasan utama. Kami tanpa beberapa pemain tonggak untuk diturunkan dalam perlawanan ini," kata Kim Swee.

"Saya bagaimanapun cukup berbangga dengan persembahan yang ditampilkan pemain yang diberikan kepercayaan sekaligus memastikan tiga mata buat Sabah."