Pemenang pingat perak Kejohanan Dunia 2010, Koo Kien Keat, mempunyai pendapat berbeza mengenai juara dunia tahun lalu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Kien Keat berpandangan Aaron-Wooi Yik harus mempertingkatkan kualiti pukulan dalam melaksanakan taktikal lebih berkesan.

Apatah lagi mereka bakal bermula kejohanan ketiga mereka musim ini iaitu Masters Indonesia yang akan membuka tirai esok.

"Biasanya saya sentuh tentang corak dan kemahiran permainan pemain lain sebab jurulatih sendiri juga mempunyai perancangannya.

"Tapi berdasarkan perlawanan separuh akhir semalam, saya rasa mereka harus mementingkan kualiti pukulan balas.




"Sebab tanpa pukulan berkualiti, anda tidak akan dapat capai perancangan permainan dengan baik.

"Pukulan mereka bagaikan tiada niat (tanpa arah). Kadang-kadang tidak cukup kuat, tanggung atau terlalu lembut.

"Jadi mereka harus tingkatkan pukulan balas," kata pemenang lima pingat emas Sukan Komanwel itu di Nadi Arena sebentar tadi.