Ketua jurulatih skuad B-23 negara yang baru akan turut disertakan dengan pakej barisan kejurulatihan, sekali gus memberikan bayangan bahawa calon berkenaan adalah dari luar negara.

Tidak kira sama ada Kim Dong-jin, Kim Hak-bun atau mana-mana pengendali lain, pengganti kepada Brad Maloney itu disahkan memiliki falsafah yang sama dengan ketua jurulatih skuad senior negara, Kim Pan-gon.

Kerusi panas pengendali skuad B-23 negara hangat diperkatakan sejak Maloney meninggalkan Malaysia awal bulan lalu dan mengulas mengenai perkara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, dalam sidang media Kongers FAM ke-58 di Petaling Jaya hari ini, berkata keputusan mengenai perkara itu akan diumumkan selewat-lewatnya hujung bulan ini.

"Apa-apa sahaja yang akan diumumkan nanti, ia adalah demi kepentingan bola sepak dan sejajar dengan negara-negara besar lain," kata Hamidin seperti yang dipetik Astro Arena.

"Saya yakin, dengan pengambilan jurulatih ini bersama barisan teknikalnya, kita akan lebih kuat.

"Pasukan B-23 kita perlu kuat kerana mereka adalah lapisan untuk pergi ke tahap lebih tinggi.

"Mungkin selepas ini Kim Pan-gon akan menggunakan lebih ramai pemain muda.

"Insya-Allah, saya kira ia akan diumumkan selewat-lewatnya hujung bulan ini," katanya.