Eden Hazard bermain seperti dia langsung tidak peduli ketika Real Madrid memerlukan kemenangan tipis 1-0 untuk mengatasi Cacereno dalam Copa del Rey, demikian menurut pemain lawan, Carmelo Mereciano.

Madrid mengesahkan tempat mereka ke pusingan 16 untuk menyingkirkan lawan daripada divisyen keempat itu semalam hasil jaringan tunggal Rodrygo pada minit ke-69.

Bagaimanapun, prestasi Hazard mengundang kecaman apabila dia gagal melakukan rembatan mahupun sentuhan di kawasan kotak penalti Cacereno sebelum dia dikeluarkan oleh Carlo Ancelotti pada minit ke-68.

Pemain sayap Cacereno, Mereciano, tidak terkesan dengan penampilan bintang antarabangsa Belgium itu yang menandatangani kontrak dengan Madrid daripada Chelsea pada 2019 dengan bayaran mencecah €100 juta (RM463.2j).



"Hazard? Dia seperti tidak mengambil kisah tentang perlawanan ini," kata Mereciano kepada AS.

“Dia tidak mahu mengambil bola, dia tidak berlari.

"Kelibatnya langsung tidak disedari."