Terdapat perubahan dalam senarai pemain England, di mana dua pemain disingkirkan Gareth Southgate manakala Emile Smith Rowe mendapat panggilan antarabangsa peringkat senior buat kali pertama.

Smith Rowe mencuri tumpuan bersama Arsenal musim ini tetapi sebelum ini tiada dalam perancangan Southgate menjelang perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Albania dan San Marino dalam tempoh seminggu ini.

Pemain tengah itu, yang menyarung jersi nombor 10 Arsenal bagi kempen 2021-22, telah beraksi dalam kesemua perlawanan The Gunners musim ini.

15 peluang yang dicipta meletakkannya di tangga kedua dalam senarai terbanyak pemain Arsenal di belakang Bukayo Saka (19). Dia juga telah mencipta dua bantuan jaringan dan menjaringkan empat gol untuk merekodkan jumlah jaringan sama dengan ketua pasukan itu, Pierre-Emerick Aubameyang.

Selepas tiba di St Georges Park selaku pemain skuad b-21 England, Smith Rowe kini akan menyertai pasukan senior negaranya selepas Marcus Rashford dan James Ward-Prowse digugurkan.

Rashford baru sahaja pulih daripada pemebedahan bahu dan akan kekal di Manchester United bagi mendapatkan kecergasan terbaik manakala pemain Southampton, Ward-Prowse, pula dilaporkan tidak sihat.

England akan menantikan kunjungan Albania, Sabtu ini sebelum bertemu San Marino tiga hari kemudian.

Empat mata daripada dua perlawanan itu sudah cukup untuk mengesahkan kelayakan mereka ke Piala Dunia Qatar 2022.