Aaron Ramsey melahirkan kekecewaannya dengan perjalanan kariernya di Juventus apabila menegaskan bahawa kecergasannya bukan satu masalah jika ia dikendalikan dengan betul.

Pemain tengah itu hanya diberi empat kesempatan di bawah bimbingan Massimiliano Allegri musim ini apabila kali terakhir muncul sebagai pemain gantian dalam babak kedua ketika menang 3-2 ke atas Sampdoria pada 26 September lalu.

Minggu lalu, The Bianconeri menjelaskan bekas pemain Arsenal -- yang tiba ke kelab itu pada Julai 2019 dengan kontrak yang dilaporkan bernilai lebih dari €450,000 (RM2.1 juta) seminggu -- menderita kelesuan otot dan baru-baru ini dilaporkan bakal dilepaskan.

Namun, dia sering dihimpit masalah kecederaan sepanjang kariernya di Turin.

Ramsey sekadar memulakan 25 perlawanan Serie A untuk bermain 2,238 minit secara keseluruhannya -- hanya tujuh minit lebih banyak daripada Blaise Matuidi yang menyertai Inter Miami pada Ogos 2020.

Begitupun, pemain berusia 30 tahun itu yang akan mengetuai Wales dalam kempen kelayakan Piala Dunia menentang Republik Czech, awal pagi esok, mencadangkan pendekatan yang berbeza bagi sesi latihan dan pemulihannya agar Juve dapat memanfaatkannya yang lebih banyak.

"Saya tahu apa yang boleh saya lakukan dan dengan pengurusan yang betul, saya dapat kekal cergas untuk jangka masa yang panjang dan terbabit dalam banyak perlawanan," katanya.

"Saya masih berasa senang apabila diberi peluang dan diuruskan dengan betul.







"Sangat mengecewakan apabila dilanda kecederaan hingga mengetepikan saya dalam banyak perlawanan, ini menyebabkan saya terlepas beberapa perlawanan penting buat Wales dalam beberapa tahun terakhir.

"Falsafah dan kaedah latihan di kelab dan di sini berbeza. Terdapat sebilangan orang di sini yang pernah menguruskan saya sejak beberapa tahun lalu, jadi mereka tahu bagaimana untuk mendapatkan yang terbaik daripada saya, sebab itu saya berpeluang beraksi sejumlah perlawanan berturut-turut. Seperti yang saya tunjukkan dalam Euro tahun ini, saya mampu melakukannya dan memperagakan aksi yang baik.

"Sumbangan saya dalam perlawanan ini cukup tingg. Saya mungkin memerlukan rehat dan sesi pemulihan yang lebih berbanding berada di atas padang untuk jangka masa yang panjang hingga mengundang kepenatan ketika saya beraksi. Pemulihan adalah faktor utamanya buat saya."

Ramsey akan memimpin negaranya tanpa Gareth Bale yang tercedera dan kemenangan akan mengukuhkan lagi kedudukan untuk menerajui Kumpulan E dengan baki dua perlawanan lagi.

"Ia membawa makna besar untuk saya mewakili Wales," katanya.

"Saya sangat bangga mewakili negara saya.

"Saya juga kecewa seperti orang lain apabila terlepas banyak perlawanan dalam beberapa tahun terakhir.

"Saya gembira dapat terlibat semula. Saya tidak sabar-sabar lagi untuk menghadapi kedua-dua perlawanan ini dan untuk mengetuai pasukan ini adalah sesuatu yang istimewa.

"Saya pernah menggalas tanggungjawab ini dan saya menikmati setiap minitnya, saya yakin ia akan menjadi saat yang sangat membanggakan bagi saya dan keluarga."