Poland diberikan laluan percuma ke pusingan playoff kelayakan Piala Dunia selepas pembatalan perlawanan mereka menentang Russia.

Bagaimanapun, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan semalam bahawa Russia akan membawa penggantungan pasukan kebangsaan mereka ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Sekiranya keputusan penggantungan itu kekal, Poland akan menentang sama ada Sweden atau Republik Czech -- yang akan ditentukan dalam satu lagi aksi separuh akhir pada 24 Mac ini -- bagi perebutan tempat ke Piala Dunia Qatar 2022.

Aksi final Laluan B itu akan diadakan di Stadium Silesian, Chorzow pada 29 Mac ini.

FIFA mengambil keputusan itu selepas Poland, Sweden dan Republik Czech mengumumkan keengganan mereka untuk bermain menentang Russia berikutan serangan negara itu ke atas Ukraine.

Sementara itu, FIFA juga mengesahkan bahawa aksi separuh akhir Laluan A melibatkan perlawanan Ukraine menentang Scotland di Hampden akan dipinda daripada 24 Mac ini kepada Jun depan.