AMERIKA SYARIKAT 2 COSTA RICA 1

Amerika Syarikat (AS) bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Costa Rica 2-1 dalam pusingan kelayakan Piala Dunia zon CONCACAF hari ini.

Sergio Dest menjaringkan gol gemilang untuk pasukan muda AS itu memadamkan jaringan awal pelawat di Ohio dan ia dilihat sebagai satu kebangkitan sempurna selepas tewas buat kali pertama kepada Panama sepanjang kempen kali ini.

Dengan purata umur 22 tahun dan 229 hari, ia menjadi kesebelasan utama paling muda pernah diturunkan AS dalam pusingan kelayakan Piala Dunia.

Mereka berdepan ujian awal di Columbus apabila Keysher Fuller melepaskan rembatan voli untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Zack Steffen, pada minit pertama.

Pemain berusia 20 tahun, Dest, mempamerkan aksi luar biasa untuk juara Piala Emas, AS, menyamakan kedudukan pada minit ke-25.

Pertahanan sayap Barcelona itu melakukan rembatan kaki kiri dari hujung kotak penalti yang menuju tepat ke arah penjuru atas gawang lawan.

AS kendalian Gregg Berhalter kemudian menyempurnakan kebangkitan mereka pada 24 minit terakhir di Padang Lower.com.

Penjaga gol Costa Rica, Leonel Moreira -- yang menggantikan Keylor Navas dalam separuh masa pertama -- tidak dapat menangkap kemas percubaan Timothy Weah di 'near post' untuk akur memberikan jaringan kemenangan buat AS.

AS untuk seketika memintas Mexico bagi menduduki tangga teratas sebelum El Tri berdepan El Salvador dalam satu lagi perlawanan.