Jack Grealish lega akhirnya meledak jaringan bersama England ketika mengatasi Andorra 5-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia awal pagi tadi.

England merombak kesebelasan utama ketika mudah merakamkan kemenangan yang keenam dalam tujuh perlawanan.

The Three Lions mendahului dua jaringan dalam separuh masa pertama menerusi Ben Chilwell dan Bukayo Saka, kedua-duanya terhasil menerusi lorongan cemerlang dipamerkan Phil Foden. Ia merupakan kali pertama dua pemain England berusia 21 tahun atau ke bawah bergandingan mendapatkan jaringan dalam saingan kelayakan Piala Dunia sejak assist daipada Steven Gerrard buat jaringan Michael Owen ketika berdepan Jerman pada 2001.

Tammy Abraham turut menemui sasaran sebelum Grealish melengkapkan kemenangan bergaya skuad kendalian Gareth Southgate itu.



Jaringan Grealish terhasil selepas penampilan ke-16 buat negaranya, dan pemain sayap Manchester City itu mengakui menamatkan kemarau jaringan sentiasa dalam fikirannya.

"Sudah lama kami menantikannya dan ia tiba tepat pada masanya kerana semua orang mahu saya menghasilkan gol buat England," kata Grealish.

"Saya berjaya menghasilkan jaringan selepas 16 perlawanan, saya sangat gembira akhirnya menemui sasaran.

"Saya sentiasa memikirkan untuk mendapatkan jaringan. Sememangnya ia telah tercapai dan perlawanan ini tidak akan saya lupakan."