COSTA RICA 1 NEW ZEALAND 0

Costa Rica tidak dapat menandingi New Zealand tetapi mereka mempertahankan kelebihan 1-0 untuk memenangi aksi playoff antarabenua pusingan kelayakan Piala Dunia di Stadium Al Rayyan, Qatar awal pagi tadi.

Dalam aksi penentuan ke Piala Dunia Qatar 2022 itu, yang mempertemukan pasukan di tangga keempat pusingan kelayakan Zon CONCACAF dan pemenang Zon OFC, Joel Campbell menjaringkan gol tunggal perlawanan seawal minit ketiga.

Bekas penyerang Arsenal itu mengatasi dua pertahanan New Zealand sebelum melepaskan rembatan untuk menewaskan penjaga gol, Oli Sail.

Selepas memperoleh jaringan itu, Costa Rica lebih gemar untuk bertahan dan All Whites pula kian garang mendominasi segenap ruang.

Chris Wood menyangkakan bahawa dia telah menjaringkan gol penyamaan buat New Zealand pada penghujung babak pertama tetapi semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati dia terlebih dahulu melakukan faul sebelum jaringan berkenaan.

Dan satu lagi semakan VAR dalam babak kedua juga tidak memihak New Zealand apabila terjahan Kosta Barbarouses ke atas Francisco Calvo, yang pada awalnya sekadar dilayangkan kad kuning, bertukar menjadi kad merah, sekali gus menyukarkan peluang mereka dengan hanya 10 pemain.

New Zealand terus menguasai permainan tetapi gagal menemui gol penyamaan dan ia membenarkan Costa Rica untuk menyertai Sepanyol, Jepun dan Jerman dalam saingan Kumpulan E, Piala Dunia Qatar 2022 pada November depan.