Australia melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 dengan penuh bergaya selepas menang 1-0 ke atas Jordan hasil gol tunggal Harry Souttar di Kuwait awal pagi tadi.

Socceroos telah sah layak selaku pasukan teratas Kumpulan B dan kini merekodkan lapan kemenangan bersih dalam pusingan kelayakan itu -- buat kali pertama sepanjang sejarah mereka -- selepas meraih tiga mata di Stadium Antarabangsa Jaber Al-Ahmad.

Jaringan Souttar itu -- gol keenam pertahanan Stoke City berkenaan dalam lima penampilan antarabangsa -- memusnahkan harapan Jordan untuk layak ke pusingan berikutnya dan kekecewaan itu jelas terbukti dengan kad merah yang dilayangkan kepada Mousa Suleiman pada penghujung perlawanan.

Sebelum ini, Jordan hanya tewas satu daripada tujuh perlawanan antarabangsa terakhir tetapi mereka bergelut untuk mencipta peluang di kawasan lawan.

Tandukan Trent Sainsburry, yang tidak dikawal pertahanan lawan, hanya sedikit melewati palang gol sebelum percubaan James Holland membuktikan penguasaan penuh Australia pada awal perlawanan itu.

Dan tekanan yang diberikan Australia membuahkan hasil apabila Souttar menemui bola daripada sepakan sudut Martin Boyles untuk menjaringkan gol yang memastikan pasukannya memperoleh dua kemenangan berturut-turut ke atas Jordan.

Suasana menjadi semakin hangat pada minit ke-87 apabila pemain Jordan, Ehsan Manel Haddad, melakukan terjahan keras ke atas Aziz Behich sebelum Suleiman diarahkan keluar padang selepas melagakan kepalanya dengan pertahanan sayap Australia itu.