Skuad B16 negara bermula garang pada kempen kelayakan Piala Asia B-17 2023 apabila membelasah Palestin 4-0 petang tadi.

Pada aksi sulung Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Pakansari, Bogor, Indonesia, anak buah Osmera Omaro bagaimanapun diberi tentangan sengit pada separuh masa pertama sekali gus menyaksikan skuad negara gagal mendapat jaringan.

Bagaimanapun pada separuh masa kedua, pasukan negara berjaya mempamerkan aksi yang cemerlang sehingga berjaya mendapatkan gol pembukaan pada minit ke-50 menerusi jaringan Anjasmirza Saharudin.

Jaringan itu nyata menambahkan semangat pemain muda negara apabila berjaya menggandakan kedudukan pada minit ke-68 menerusi penyudah Faris Danish Mohd Asrul.

Skuad muda negara itu terus menambah derita pasukan Palestin apabila Arami Wafiy Mohamad Zakimi mengukuhkan lagi kedudukan dengan meledak gol ketiga pada minit ke-74, sebelum Zainurhakimi Zain Azraii melengkapkan kemenangan bergaya skuad negara apabila menyumbang gol keempat ketika perlawanan berbaki tiga minit.

Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia kita mengungguli tangga teratas kumpulan B dengan mengumpul tiga mata.

Malaysia akan meneruskan saingan kelayakan berdepan Guam pada Rabu ini sebelum menentang Emiriah Arab Bersatu (7 Oktober) dan tuan rumah, Indonesia (9 Oktober).

Menurut format pertandingan, 10 juara kumpulan dan hanya lima naib juara terbaik akan layak ke Piala Asia B-17 2023.

Kredit: Sinar Harian