Ketua jurulatih skuad B-22 negara, Brad Maloney, melaungkan keyakinan bahawa anak buahnya sudah bersedia untuk bertemu Laos dalam aksi pembukaan Kumpulan J, pusingan kelayakan Piala Asia B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia petang esok.

Maloney menjangkakan Laos akan memberikan tekanan awal buat pasukan negara, sama seperti ketika pertemuan terakhir kedua-dua pasukan dalam kejohanan berkekenaan pada 2019.

Ketika itu, dia bertindak sebagai pembantu jurulatih kepada Datuk Ong Kim Swee dan Safawi Rasid muncul penjaring tunggal skuad negara pada minit ke-81 di Stadium Shah Alam.

Dalam satu temu bual Nadi Weekend hari ini, Maloney berkata: "Laos pasukan yang sentiasa sukar untuk ditembusi, mereka bermain dengan sangat teratur dan barisan kejurulatihan mereka juga masih sama seperti pertemuan sebelum ini.

"Saya menjangkakan akan berdepan lawan yang sama (seperti sebelum ini). Mereka sentiasa amat kompetitif dan kami perlu bersedia terhadap segala-galanya.

"Jika anda bertanya, itulah caranya mereka akan menghadapi kami, memberikan tekanan sejak dari awal, jadi kami perlu bersedia untuk menghadapinya.

"Kami sentiasa mahukan kelebihan gol yang baik kerana ia mungkin menjadi pemisah pada akhirnya.

"Sudah pasti kami hanya mahu bermain dengan cara kami dan harap-harap kami dapat melakukannya dan fokus untuk mendapatkan keputusan yang baik," katanya.