Walaupun mengharungi penerbangan selama 28 jam ke Mongolia, ketua jurulatih skuad B-21 negara, Brad Maloney, memilih untuk tidak duduk diam, sebaliknya hanya memberikan waktu rehat dua jam buat pemainnya sebelum memulakan latihan pertama.

Skuad negara tiba di Mongolia hari ini bagi mengharungi kempen Kumpulan J, pusingan kelayakan Piala Asia B-23 dan akan memulakan saingan di Ulaanbaatar itu dengan menentang Laos pada Isnin ini sebelum bertemu tuan rumah (28 Oktober) dan Thailand (31 Oktober).

Sedar hanya memiliki tempoh kurang empat hari sebelum perlawanan pertama, Maloney enggan membazirkan sebarang masa untuk pasukannya menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di negara tuan rumah berkenaan.

Dia berkata kepada wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom: "Kami mengharungi perjalanan panjang lebih daripada 28 jam. Kami tiba dengan selamat dan pemain berada dalam keadaan yang bersemangat tinggi.

"Cuaca di sini agak sejuk tetapi matahari masih kelihatan, jadi cuacanya tidak terlalu buruk hari ini.

"Kami mempunyai masa lebih kurang empat hari sebelum perlawanan pertama dan kami perlu menyesuaikan diri sebaik mungkin.

"Kami akan mencuba untuk melakukan latihan khas setiap hari tetapi buat masa ini, kami diberikan slot yang agak kurang sesuai kerana saya mahukan program yang lebih konsisten setiap hari dan kami sedang berbincang dengan pihak penganjur," katanya.